Khamis, 1 Mei 2014

TEORI PROSES MEMBACA

Membaca merupakan satu proses yang menggunakan minda bagi mendapat makna dari bahan yang bercetak (proses kognitif). Pembaca pula ialah seorang penyelesai masalah aktif yang cuba mengenalpasti bentuk huruf, ilustrasi, format dan bentuk teks yang dibaca (pada peringkat dekoding atau peringkat visual). Pembaca juga akan cuba mengaitkan antara huruf dan bunyi (fonologi) dan mencari serta mengkaji struktur teks berdasarkan pengalaman bahasa mereka (sintaksis) serta mencari makna di sebalik permukaan bercetak berlandaskan pengalaman latar atau skema yang mereka miliki (semantik). Pembaca akan menggunakan tiga sistem kiu iaitu kiu grafik, sintaksis dan semantik.

PROSES “BOTTOM-UP”

Proses membaca dapat dikaitkan dengan proses memperolehi maklumat dan manfaat dari bahan yang dibaca. Proses ini berlaku dengan mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat di permukaan bertulis seperti bentuk huruf roman (tulisan rumi) dan bentuk huruf arab (tulisan jawi). Seterusnya, huruf-huruf ini digabungkan dalam satu sistem ejaan yang digunakan dalam sesuatu bahasa. Misalnya dalam bahasa Melayu, huruf-huruf roman ini disusun atur dalam satu sistem ejaan yang berstruktur sehingga dapat mewakili bunyi-bunyi perkataan dalam bahasa ini. Dari kumpulan perkataan ini, pembaca akan terus memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk dari kumpulan perkataan tersebut. Dari ayat, terbina pula perenggan yang memberikan maksud secara berwacana kepada pembaca. Apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap dari bahan yang dibacanya maka proses ini telah lengkap. Proses “Bottom-up” ialah proses membaca yang bermula dari bawah ke atas.



PROSES “TOP-DOWN”
Proses kedua ialah proses top-down. Pembaca perlu memahami bahan bacaannya secara keseluruhan terlebih dahulu. Maksudnya, pembaca tidak perlu mengenalpasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci. Setelah memahami maksud petikan secara keseluruhan, barulah pembaca membuat perincian maksud perenggan yang berbeza dan kemudiannya mencerakin ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan sekiranya perlu. Proses ini mengutamakan pemerolehan maklumat secara menyeluruh. Kaitan model top-down ini dengan proses pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan Teori Pembelajaran Linguistik. Teori ini menegaskan bahawa makna tidak terdapat pada teks, tetapi terdapat dalam diri pembaca. Maksud petikan secara keseluruhan adalah lebih utama daripada perkataan yang dipaparkan dalam bahan bacaan. Membaca melibatkan kiu bahasa iaitu grafonik, sintaksis dan semantik. Teori ini juga berpendapat bunyi atau fonik setiap patah perkataan tidak perlu dikuasai secara terperinci kerana membaca adalah satu proses membina makna dan bukan sebutan semata-mata.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan