Teori Membaca Secara Automatik
La Berge dan Samuel (1974) menganjurkan teori membaca secara automatik. Teori ini menganggap wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujud perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub komponen dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecamkan perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, Sumber-sumber ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca.
Teori Memindahkan Maklumat
Teori yang berasaskan pandangan Gough (1985) ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas menyatakan aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Mereka mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Mereka juga percaya pembaca berinteraksi dengan teks dengan tujuan mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya. Bagi melakukannya, pembaca memerlukan kemahiran yang khusus yang membolehkan mereka melakukan proses pemindahan tersebut.
Teori Kecekapan Verbal
Perfetti (1988) memperkenalkan teori yang penting dalam kemahiran membaca iaitu teori kecekapan verbal yang menekankan kemahiran membaca dengan meluaskannya melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora, membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. Teori ini juga membincangkan sejauh mana sesuatu sub komponen membaca berhubung dengan pemahaman. Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah dibacanya. Tidak cekap dalam membaca juga disebabkan oleh skemata yang terhad. Kekurangan pengetahuan lalu berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami kandungan teks.
Berdasarkan teori membaca di atas, nyata wujud kepentingan membaca bagi tujuan pemahaman dan kelancaran pembacaan. Dalam kajian ini, penggunaan teori membaca yang melibatkan ciri automatik dan kecekapan penggunaan perbendaharaan kata membantu keberkesanan penguasaan membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan