Kaedah Mengajar Membaca pada Peringkat Awal
Kaedah Abjad
Kaedah Abjad adalah kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan rumi. Murid-murid terlebih dahulu diajar menghafal nama-nama huruf mengikut susunannya menggunakan bahan-bahan visual dan audio seperti kad carta, kad huruf, CD, melalui permainan dan sebagainya. Huruf-huruf yang mula diperkenalkan adalah huruf-huruf besar dan diikuti dengan huruf-huruf kecil. Setelah itu murid-murid diajar menyebut huruf-huruf vokal a, e, i, o, u dan disusuli dengan membina suku-suku kata seperti “sa-tu”. Kemudian murid-murid diajar mengeja perkataan-perkataan. Akhir sekali mereka dilatih membaca ayat-ayat yang mudah. Terdapat beberapa permainan yang boleh digunakan untuk membantu murid belajar abjad seperti lagu ABC, belon abjad dan cari abjad.
Lagu ABC
Murid berdiri dalam barisan. Setiap murid diberi sekeping kad imbasan abjad. Lagu ABC dimainkan. Murid menunjuk atau mengangkat kad imbasan apabila huruf tertentu disebut atau dinyanyikan dalam lagu itu. Contoh lagu ABC yang sesuai untuk dimainkan disertakan dalam link di bawah.
Belon Abjad
Murid berdiri dalam bulatan. Murid pertama memegang belon akan menyebut huruf ‘A’ dua kali. Dia akan menyerahkan belon kepada rakan disebelahnya dan rakannya pula menyebut ‘B’ dan seterusnya sehingga ‘Z’. Contoh belon abjad ditunjukkan seperti dalam rajah di bawah.
Cari Abjad
Guru melekatkan kad imbasan abjad di papan tulis secara rawak. Bahagikan murid kepada kumpulan. Guru menyebut huruf dan murid menunjuk huruf itu. Kumpulan yang dapat menjawab dengan betul akan mendapat mata. Permainan ini boleh menggunakan huruf besar atau huruf kecil sahaja. Jika mahu, boleh juga dicampur aduk huruf besar dengan huruf kecil. Contoh arahan ialah carikan huruf kecil ‘d’ atau carikan huruf besar ‘R’.
Kaedah Pandang Sebut
Perkataan ditulis oleh guru di papan tulis bersama gambar. Sebagai contoh, ‘bola’. Murid menyebut perkataan tersebut sambil melihat gambar bola. Kaedah pandang sebut dikatakan sesuai untuk mengajar bahasa Mandarin. Walau bagaimanapun, kaedah ini juga sesuai digunakan untuk mengajar membaca mata pelajaran yang lain seperti bahasa Melayu. Contoh bahan kaedah pandang sebut ditunjukkan dalam rajah di bawah.
Kaedah Fonik
Kaedah fonik memerlukan guru mengajar murid membunyikan setiap huruf. Dalam kaedah fonik, sememangnya murid perlu mengenal huruf. Setakat mengenal sahaja tidak memadai kerana murid juga perlu tahu bunyi setiap huruf untuk membantu mereka membaca dengan lebih cepat. Kaedah fonik ini dapat membantu proses pengajaran membaca pada peringkat awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan