Khamis, 1 Mei 2014


DEFINISI MEMBACA

Mahzan (2003) menjelaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa yang terdapat dipermukaan pertulis dengan apa yang terdapat di minda pembaca. Definisi ini bermaksud membaca ialah proses mengaitkan apa yang terdapat dalam minda seseorang dengan apa yang dibacanya di permukaan bertulis.
               Definisi membaca menurut Safiah Otman (1991) pula ialah selagi seseorang tidak memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi membaca. Definisi ini membawa maksud pemberian makna terhadap bahan yang dibaca adalah penting bagi mengatakan bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi seseorang itu mempunyai masalah dalam proses memberi makna ini, maka selagi itulah beliau belum membaca. Definisi ini berkait rapat dengan definisi yang diberikan oleh Smith & Johnson (1980), iaitu proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Seseorang yang dapat membaca menurut mereka ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Harris dan Sipay (1980) yang menegaskan membaca sebagai keperluan seseorang itu perlu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya.                                                              
               Berdasarkan pendapat dan pandangan tokoh-tokoh di atas, dapatlah disimpulkan bahawa membaca merupakan proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan maklumat yang diterima. Justeru, membaca bukan sekadar mengenal rangkaian perkataan namun, ia juga mementingkan penggunaan simbol serta konteks dalam sesuatu pembacaan.




TEORI MEMBACA




Teori Membaca Secara Automatik
La Berge dan Samuel (1974) menganjurkan teori membaca secara automatik. Teori ini menganggap wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujud perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub komponen dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecamkan perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, Sumber-sumber ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca.

Teori Memindahkan Maklumat
Teori yang berasaskan pandangan Gough (1985) ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas menyatakan aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Mereka mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Mereka juga percaya pembaca berinteraksi dengan teks dengan tujuan mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya. Bagi melakukannya, pembaca memerlukan kemahiran yang khusus yang membolehkan mereka melakukan proses pemindahan tersebut.

Teori Kecekapan Verbal
Perfetti (1988) memperkenalkan teori yang penting dalam kemahiran membaca iaitu teori kecekapan verbal yang menekankan kemahiran membaca dengan meluaskannya melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora, membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. Teori ini juga membincangkan sejauh mana sesuatu sub komponen membaca berhubung dengan pemahaman. Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah dibacanya. Tidak cekap dalam membaca juga disebabkan oleh skemata yang terhad. Kekurangan pengetahuan lalu berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami kandungan teks.

Berdasarkan teori membaca di atas, nyata wujud kepentingan membaca bagi tujuan pemahaman dan kelancaran pembacaan. Dalam kajian ini, penggunaan teori membaca yang melibatkan ciri automatik dan kecekapan penggunaan perbendaharaan kata membantu keberkesanan penguasaan membaca.

TEORI PROSES MEMBACA

Membaca merupakan satu proses yang menggunakan minda bagi mendapat makna dari bahan yang bercetak (proses kognitif). Pembaca pula ialah seorang penyelesai masalah aktif yang cuba mengenalpasti bentuk huruf, ilustrasi, format dan bentuk teks yang dibaca (pada peringkat dekoding atau peringkat visual). Pembaca juga akan cuba mengaitkan antara huruf dan bunyi (fonologi) dan mencari serta mengkaji struktur teks berdasarkan pengalaman bahasa mereka (sintaksis) serta mencari makna di sebalik permukaan bercetak berlandaskan pengalaman latar atau skema yang mereka miliki (semantik). Pembaca akan menggunakan tiga sistem kiu iaitu kiu grafik, sintaksis dan semantik.

PROSES “BOTTOM-UP”

Proses membaca dapat dikaitkan dengan proses memperolehi maklumat dan manfaat dari bahan yang dibaca. Proses ini berlaku dengan mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat di permukaan bertulis seperti bentuk huruf roman (tulisan rumi) dan bentuk huruf arab (tulisan jawi). Seterusnya, huruf-huruf ini digabungkan dalam satu sistem ejaan yang digunakan dalam sesuatu bahasa. Misalnya dalam bahasa Melayu, huruf-huruf roman ini disusun atur dalam satu sistem ejaan yang berstruktur sehingga dapat mewakili bunyi-bunyi perkataan dalam bahasa ini. Dari kumpulan perkataan ini, pembaca akan terus memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk dari kumpulan perkataan tersebut. Dari ayat, terbina pula perenggan yang memberikan maksud secara berwacana kepada pembaca. Apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap dari bahan yang dibacanya maka proses ini telah lengkap. Proses “Bottom-up” ialah proses membaca yang bermula dari bawah ke atas.



PROSES “TOP-DOWN”
Proses kedua ialah proses top-down. Pembaca perlu memahami bahan bacaannya secara keseluruhan terlebih dahulu. Maksudnya, pembaca tidak perlu mengenalpasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci. Setelah memahami maksud petikan secara keseluruhan, barulah pembaca membuat perincian maksud perenggan yang berbeza dan kemudiannya mencerakin ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan sekiranya perlu. Proses ini mengutamakan pemerolehan maklumat secara menyeluruh. Kaitan model top-down ini dengan proses pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan Teori Pembelajaran Linguistik. Teori ini menegaskan bahawa makna tidak terdapat pada teks, tetapi terdapat dalam diri pembaca. Maksud petikan secara keseluruhan adalah lebih utama daripada perkataan yang dipaparkan dalam bahan bacaan. Membaca melibatkan kiu bahasa iaitu grafonik, sintaksis dan semantik. Teori ini juga berpendapat bunyi atau fonik setiap patah perkataan tidak perlu dikuasai secara terperinci kerana membaca adalah satu proses membina makna dan bukan sebutan semata-mata.



BELAJAR MEMBACA

Kaedah Mengajar Membaca pada Peringkat Awal

Kaedah Abjad
Kaedah Abjad adalah kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan rumi. Murid-murid terlebih dahulu diajar menghafal nama-nama huruf mengikut susunannya menggunakan bahan-bahan visual dan audio seperti kad carta, kad huruf, CD, melalui permainan dan sebagainya. Huruf-huruf yang mula diperkenalkan adalah huruf-huruf besar dan diikuti dengan huruf-huruf kecil. Setelah itu murid-murid diajar menyebut huruf-huruf vokal a, e, i, o, u dan disusuli dengan membina suku-suku kata seperti “sa-tu”. Kemudian murid-murid diajar mengeja perkataan-perkataan. Akhir sekali mereka dilatih membaca ayat-ayat yang mudah. Terdapat beberapa permainan yang boleh digunakan untuk membantu murid belajar abjad seperti lagu ABC, belon abjad dan cari abjad.

Lagu ABC
Murid berdiri dalam barisan. Setiap murid diberi sekeping kad imbasan abjad. Lagu ABC dimainkan. Murid menunjuk atau mengangkat kad imbasan apabila huruf tertentu disebut atau dinyanyikan dalam lagu itu. Contoh lagu ABC yang sesuai untuk dimainkan disertakan dalam link di bawah.

Belon Abjad

Murid berdiri dalam bulatan. Murid pertama memegang belon akan  menyebut huruf ‘A’ dua kali. Dia akan menyerahkan belon kepada rakan disebelahnya dan rakannya pula menyebut ‘B’ dan seterusnya sehingga ‘Z’. Contoh belon abjad ditunjukkan seperti dalam rajah di bawah.


Cari Abjad
Guru melekatkan kad imbasan abjad di papan tulis secara rawak. Bahagikan murid kepada kumpulan. Guru menyebut huruf dan murid menunjuk huruf itu. Kumpulan yang dapat menjawab dengan betul akan mendapat mata. Permainan ini boleh menggunakan huruf besar  atau huruf kecil sahaja. Jika mahu, boleh juga dicampur aduk huruf besar dengan huruf kecil. Contoh arahan ialah carikan huruf kecil ‘d’ atau carikan huruf besar ‘R’.


Kaedah Pandang Sebut
Perkataan ditulis oleh guru di papan tulis bersama gambar. Sebagai contoh, ‘bola’. Murid menyebut perkataan tersebut sambil melihat gambar bola. Kaedah pandang sebut dikatakan sesuai untuk mengajar bahasa Mandarin. Walau bagaimanapun, kaedah ini juga sesuai digunakan untuk mengajar membaca mata pelajaran yang lain seperti bahasa Melayu. Contoh bahan kaedah pandang sebut ditunjukkan dalam rajah di bawah.



Kaedah Fonik
Kaedah fonik memerlukan guru mengajar murid membunyikan setiap huruf. Dalam kaedah fonik, sememangnya murid perlu mengenal huruf. Setakat mengenal sahaja tidak memadai kerana murid juga perlu tahu bunyi setiap huruf untuk membantu mereka membaca dengan lebih cepat. Kaedah fonik ini dapat membantu proses pengajaran membaca pada peringkat awal.




MASALAH DALAM MEMBACA

Masalah utama yang didapati dalam proses membaca ialah ketidakupayaan menbaca oleh pembaca. Ketidakupayaan membaca merujuk kepada pembaca yang tidak langsung mempunyai kemahiran membaca dan tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca seperti tidak dapat membuat diskriminasi antara bunyi huruf, tidak dapat mendekod perkataan berdasarkan bunyi bahasa Melayu, tidak dapat memecahkan simbol yang ada sama ada dalam bentuk grafik atau numerik dalam bahasa Melayu yang betul.

FAKTOR MEMPENGARUHI MASALAH MEMBACA

Masalah membaca bukanlah satu masalah yang baru dalam semua masyarakat di dunia, sama ada bagi masyarakat dalam negara miskin atau dunia ketiga, malahan bagi negara maju atau negara indistri sendiri pun masalah ini masih berlaku dengan secara berluasa.



FAKTOR DALAMAN

Faktor Fizikal

Kecacatan yang ringan terhadap deria tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebolehan membaca. Antara kecacatan fizikal yang amat mempengaruhi keupayaan membaca ialah penglihatan, pendengaran dan pertuturan.

Faktor Emosi 

Pelajar yang gagal membaca akan mempunyai rasa rendah diri, tidak bermotivasi, kecewa, malas, terasing, gagal dan sebagainya. Namun demikian, ada juga kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi yang mengganggu pencapaian mereka dalam pelajaran amnya dan membaca khasnya. Kes penderaan, kes perpecahan keluarga dan kes kanak-kanak terbiar boleh menyebabkan gangguan emosi kepada kanak-kanak.

FAKTOR LUARAN

Faktor Instruksional : Kaedah, teknik dan strategi pengajaran guru amat penting bagi menentukan kejayaan pelajar mencapai objektif pembelajaran. Kajian-kajian lepas menyatakan bahawa kaedah, teknik dan strategi pengajaran amat mempengaruhi kejayaan dan keberkesanan pelajar menguasai sesuatu kemahiran. Selain itu, faktor instruksional guru juga merupakan faktor luaran yang boleh mempengaruhi kejayaan pelajar menguasai kemahiran membaca pada pelbagai tahap yang berbeza.

Faktor Sosio-ekonomi : Status sosio-ekonomi kerap menjadi salah satu pembolehubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari sosio-ekonomi rendah selalunya mempunyai pencapaian yang rendah. Manakala kanak-kanak dari sosio-ekonomi tinggi selaluya mendapat pencapaian yang tinggi juga. Keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.

LANGKAH MENGATASI MASALAH DALAM PEMBACAAN

Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)


Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu. Strategi pengajaran dan pembelajaran Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) melibatkan beberapa langkah seperti pencalonan, ujian penapisan, instruksi, penilaian dan tindakan susulan.

Literasi, Numerasi dan Saringan (LINUS)

Program ini dirancang dan dibentuk sebagai penambahbaikan program sedia ada (KIA2M), memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 menguasai asas membaca, menulis dan mengira dan pada akhir tahun 3 menjelang Tahun 2011. Semua pelajar yang normal (100%) yang berada di sekolah di negara ini mencapai keupayaan literasi dan numerasi.

Program intervensi masalah ketidakupayaan membaca

Setelah menjalankan ujian saringan Linus, pelajar yang tidak melepasi tahap keupayaan literasi dan numerasi yang tertentu perlu menjalani program intervensi yang dijalankan oleh pihak sekolah dengan bantuan fasilitator Linus yang dilantik oleh pihak kementerian. Guru yang diberikan latihan khusus akan melaksanakan program ini. Program ini dirancang berasaskan konstruk yang telah dikenalpasti bermasalah bagi pelajar yang telah mengambil ujian sartingan Linus.









PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Pemilihan bahan bacaan menjadi salah satu perkara penting dalam pengajaran dan pembelajaran terutama kepada seorang guru. Guru perlu memilih bahan bacaan yang bersesuaian dengan latar belakang pelajar yang berbeza supaya tahap murid tersebut bersesuaian dengan bahan bacaan. Seterusnya, pemilihan bahan bacaan yang bersesuaian dengan tahap dan minat pelajar dapat dilihat daripada pelbagai faktor. Antara beberapa faktor yang akan mempengaruhi dalam pemilihan bahan bacaan:

Faktor Diri Pembaca

Pemilihan bahan bacaan yang bersesuaian mampu mempengaruhi sikap atau akhlak pembaca tersebut. Sebagai contoh, bagi pembaca yang membaca buku-buku ilmiah atau buku motivasi secara tidak langsung akan dapat membantu pembaca memotivasikan diri, membentuk akhlak dan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada mereka.Manakala, bahan bacaan yang berunsur hiburan atau lucah akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak.

Faktor Bahan 

Bahan mestilah bersesuaian, mencabar, menarik, jimat, mudah dan praktikal. Bahan mestilah berkaitan dengan isu semasa yang membantu pengetahuan sedia ada pelajar.  Bahan bacaan perlu menggunakan bahasa yang bersifat formal, menitikberatkan penggunaan tatabahasa, struktur ayat lengkap dan perbendaharaan kata yang sesuai dengan jangkaan pembaca serta mempunyai tarikan supaya pembaca berasa minat untuk terus membaca sesuatu bahan tersebut (Yahya Othman, 2004). 
          
       Faktor Tulisan Yang Jelas
            Reka bentuk tulisan mengikut aspek saiz tulisan, jenis fon, jarak antara fon, jarak antara baris, saiz muka surat, ketebalan cetakan tulisan dan kertas diambil kira. Jenis dan saiz fon mengikut kategori pembaca yang berbeza. Contoh di bawah ini dapat menerangkan isi penting dengan lebih jelas dengan melihat kepada pengaruh saiz tulisan:



            Contoh di bawah pula keadaan ayat yang dipengaruhi oleh jenis tulisan


         Faktor Ilustrasi Dan Warna


          Persembahan ilustrasi mampu meningkatkan atau mengurangkan minat membaca. Kanak-kanak minat kepada bahan bacaan yang banyak mengandungi ilustrasi dan memudahkan pembacaan tersebut dengan penggunaan dakwat berwarna selain hitam. Penggunaan dakwat warna hitam, biru dan hijau lebih jelas dan mudah dibaca. Andrews & Scharff (2002), pelajar prasekolah lebih meminati ilustrasi yang bergambar terang berbanding gambar abstrak dan suram. Ilustrasi mesti bersesuaian dengan aras dan keperluan pembaca yang dapat menyokong dan menerangkan teks bagi membantu meningkatkan kefahaman murid. Contoh penggunaan ILUSTRASI yang memudahkan penceritaan konsep

  
         Faktor Susunan Teks
        Berkait rapat dengan cara persembahan dalam sesuatu teks. Mengambil kira perkara seperti perenggan, tajuk-tajuk kecil, penggunaan perkataan yang digariskan, dicondongkan dan yang ditebalkan. Ini memudahkan sesebuah teks itu difahami oleh pembaca.